Monday, July 29, 2013



Ibu bapa berperanan menentukan kejayaan anak-anak dalam peperiksaan.
Bincangkan usaha-usaha ibu bapa untuk membantu anak-anak membuat persiapan menghadapi peperiksaan.

CONTOH JAWAPAN

Ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Segala peranan yang dimainkan oleh ibu bapa memberikan impak yang besar terhadap masa depan anak-anak. Kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan utama seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM amat dinanti nantikan oleh ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam membantu anak-anak membuat persediaan dalam peperiksaan.



Anak-anak perlu membuat persediaan awal bak kata pepatah ‘Sediakan payung sebelum hujan’.Ibu bapa pula dapat membantu dengan menyediakan segala prasarana seperti bahan bacaan untuk rujukan, alat tulis dan menyediakan kawasan persekitaran yang kondusif untuk mereka mengulang kaji. Suasana yang harmoni di rumah juga penting agar anak-anak dapat belajar dalam suasana yang tenang.

Selain itu, anak-anak mesti bijak membahagikan masa terutamanya apabila menghadapi peperiksaan utama dalam kehidupan mereka. Penyediaan jadual ulangkaji yang sempurna amat penting kerana ‘masa itu emas’. Ibu bapa dapat membantu anak-anak menyediakan jadual waktu ini menggunakan beberapa konsep seperti SWOT. Tambahan pula, mereka boleh memantau segala aktiviti anak-anak agar tidak menganggu proses persiapan anak-anak mereka mennghadapi peperiksaan.

Pemakanan makanan seimbang seperti sayur-sayuran, susu, kekacang dan buah-buahan serta pengambilan vitamin untuk kesihatan diri dan kecergasan juga penting kerana otak yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas dan sihat. Pengambilan makanan yang berkhasiat dapat mempersiapkan diri anak-anak dari segi mental dan emosi. Sokongan sebegini oleh ibu bapa sekali gus akan membantu mengeratkan hubungan kasih sayang dalam diri anak-anak terhadap ibu bapa.

Di samping itu, ibu bapa harus memastikan emosi anak-anak tidak terganggu. Mereka harus berperanan sebagai tempat anak-anak berkongsi masalah dan perasaan. Anak-anak juga harus dilatih memperbanyak doa dan sembahyang dalam tempoh masa terdekat sebelum peperiksaan. Semangat dan dorongan oleh ibu bapa dapat menenangkan dan melahirkan keyakinan dalam diri anak-anak.

Tuntasnya, orang yang terdekat dengan anak-anak ialah ibu bapa, peranan ibu bapa sewaktu anak-anak menghadapi peperiksaan amat penting dan akan memberi sumbangan yang besar dalam keputusan peperiksaan anak-anak. Sehubungan itu, ibu bapa harus meluangkan masa dan tenaga dalam menyediakan cahaya mata mereka menghadapi peperiksaan.

Sumber: Pusat Tusyen Bistari

0 comments:

Post a Comment

Followers

Contoh-contoh Karangan Bahasa Melayu PMR, Contoh Karangan Bahasa Melayu PMR Kertas 2.

Powered by Blogger.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Featured Posts

Follow Twitter Cikgu

Liked FB Page kami

Follow Kami di G+

Translate

Popular Posts